Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 25 FEBRUARI 2025 : Pertubuhan Belia 4B merupakan satu platform untuk pembelajaran, pembentukan jati diri serta memberi perkhidmatan kepada anak muda di negeri ini.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ia merupakan asas penting dalam membentuk karakter dan daya saing anak muda dan menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Saya percaya ramai dalam kalangan di sini telah melalui pengalaman berharga ketika menyertai 4B, dari aspek latihan kepimpinan, program kebajikan, aktiviti kesukarelawanan, hingga kebidang keusahawanan dan pembangunan sosial.

“Sebagai alumni, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk terus menyumbang kepada generasi muda yang akan meneruskan perjuangan ini.
“Alumni bukan sekadar bekas ahli, tetapi sebagai aset penting yang boleh membimbing, memberi tunjuk ajar dan mencipta peluang kepada golongan muda yang sedang mencari arah dalam kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Jamuan Makan Malam Alumni Belia 4B Pahang di Hotel Sri Manja yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.

Turut hadir, Pengerusi Alumni Belia 4B Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Menurut beliau Kerajaan Negeri Pahang juga sentiasa mengiktiraf peranan pertubuhan seperti 4B dalam membentuk generasi pemimpin pada masa hadapan.
Beliau turut melahirkan rasa terharu dan bersyukur setelah menerima anugerah Khas Tokoh Alumni 4B Negeri Pahang 2025 pada majlis tersebut. -PAHANGMEDIA

