Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2024 : Penganjuran Sambutan Hari Kebajikan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 yang menggabungkan Sambutan Orang Kurang Upaya, Hari Warga Emas dan Hari Kanak-Kanak berpeluang mewujudkan kerja membabitkan pelbagai pihak dalam menyantuni golongan berkenaan.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, pembentukan jaringan ini perlu bagi menyediakan medan perbincangan dan percambahan idea dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Tanggungjawab terhadap khidmat dan kerja kebajikan tidak lagi boleh dilihat sebagai tanggungjawab Kerajaan semata-mata.
“Justeru, penganjuran Sambutan Hari Kebajikan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 ini adalah bertepatan dengan konsep ‘Kebajikan Adalah Tanggungjawab Bersama’ bagi membolehkan kita mewujudkan jaringan kerja pelbagai pihak untuk percambahan fikiran, berkongsi pengalaman dan pengetahuan bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Tema yang diangkat amat bertepatan iaitu “Pahang Prihatin, Kebajikan Bersama,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kebajikan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), hari ini.

Jelasnya, amalan kebajikan perlu diterapkan dalam masyarakat secara menyeluruh bersama Kerajaan dalam kerja dan aktiviti kebajikan sebagai mekanisme untuk memupuk semangat bantu-membantu di antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat di Negeri Pahang.
“Amalan kebajikan perlu diterapkan dalam masyarakat. Penglibatan masyarakat secara menyeluruh bersama Kerajaan dalam kerja dan aktiviti kebajikan amat penting dan perlu digalakkan. Program dan aktiviti berasaskan kebajikan adalah satu mekanisme untuk memupuk semangat bantu-membantu di antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya di Negeri Pahang,” katanya.
Kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM250,000 bagi menjayakan penganjuran program bertemakan ‘Pahang Prihatin, Kebajikan Bersama’.
Beliau berkata, prinsip yang digariskan di bawah Dasar Kebajikan Masyarakat Negara menekankan tanggungjawab bersama anggota masyarakat dalam menangani isu-isu sosial dalam program pembangunan masyarakat.
Jelasnya, nilai murni dan semangat tolong menolong dalam kalangan masyarakat perlu diperluaskan agar lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu. -PAHANGMEDIA

