Oleh : Norhafizan Zulkifli
BENTONG, 16 NOVEMBER 2024 : Hari Karnival Tanah Pahang Peringkat Daerah Bentong Tahun 2024 berjaya membuat kutipan hasil tanah berjumlah RM21,139,574.30 setakat jam 12 tengah hari tadi.
Sementara itu, setakat 10 November ini, Pantadbiran Tanah Negeri Pahang telah mencatatkan kutipan hasil tanah berjumlah RM678,791,566.89 juta berbanding sasaran ditetapkan RM706,854,221 iaitu peratusan sebanyak 96 peratus.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, berkata, pada tahun lalu, Kerajaan Negeri telah berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM1.164 bilion melalui pelbagai sumber ekonomi dengan sumbangan terbesar adalah kutipan daripada hasil tanah yang keseluruhannya berjumlah RM822.7 juta.
“Kutipan ini adalah melebihi daripada sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM1.083 bilion. Bagi tahun 2024, sasaran kutipan hasil tanah Kerajaan Negeri adalah melebihi RM706 juta dan sehingga November 2024 kita telah berjaya kutip melebihi RM678 juta.
“InsyaAllah melalui kutipan hasil tanah daripada tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan memberi manfaat yang cukup besar kepada rakyat Pahang yang memerlukan melalui pemberian pelbagai Insentif Kerajaan Negeri Pahang,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Karnival Tanah Pahang Peringkat Daerah Bentong Tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong (MPB), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail; Timbalan Pengarah (Pembangunan) Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Encik Azora@Ahmad Shamsudin; dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, YB. Tuan Lee Chin Chen.
YB. Dato’ Amizar dalam pada itu mengingatkan kepada semua pemilik tanah supaya sentiasa melunaskan tanggungjawab membayar cukai tanah sebelum 31 Mei setiap tahun.
“Bagi mana-mana pemilik yang enggan membayar cukai tanah seperti yang ditetapkan oleh Pentadbir Tanah, tindakan tegas akan dilaksanakan melalui endorsan surat peringatan melalui Notis Borang 6A.
“Jikalau tiada tindakan selanjutnya dibuat oleh pemilik tanah, maka endorsan Notis Borang 8A akan dikeluarkan bagi tujuan pelucuthakan semula kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu berkata, Kerajaan Negeri telah berbesar hati untuk menawarkan insentif Pengecualian Denda Lewat cukai tanah tahun semasa 2024 kepada semua pemilik tanah berkuatkuasa bermula 1 Jun sehingga 30 November ini.
“Saya menyeru agar lebih ramai lagi pemilik tanah menggunakan peluang ini untuk merebut insentif yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri supaya segera melunaskan bayaran cukai tanah atau tunggakan cukai tanah tanpa dikenakan denda lewat bagi mengelakkan sebarang implikasi kepada pemilikan tanah nanti.
“Kerajaan Negeri juga telah menyediakan pelbagai platform untuk pembayaran cukai tanah bagi memudahkan pemilik tanah. Dengan memperkenalkan kaedah pembayaran secara digital samada melalui laman web PTG Pahang menggunakan gateway FPX ataupun melalui aplikasi PahangGo,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

