Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Fadhil Roslizan
RAUB, 16 NOVEMBER 2024 : Program Teras GLC 2024 Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong dan Ziarah Kasih Siri 2 merupakan satu platform Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mendengar segala permasalahan rakyat secara terus.
Menurut ADUN Dong, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, beliau pergi berjumpa penduduk di setiap buah rumah terlibat di DUN Dong bagi mengetahui lebih lanjut apa keperluan penduduk.

“Masa saya ziarah rumah saya akan bertanya penduduk kampung. Saya akan pergi dan bertanya ke setiap rumah di kampung tersebut. Saya akan pergi dan bertanya khabar.
“Bila kita turun ke kampung, kita akan ziarah semua rumah dan setiap rumah menerima sumbangan berupa barangan makanan oleh PSK dan juga sedikit tanda hati dari Pusat Khidmat DUN Dong.
“Kita mengambil peluang ini untuk beramah mesra, bertanya khabar dengan penduduk kampung dan pada masa sama kita dapat menyelami keperluan penduduk kampung itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada 65 keluarga pada Program Teras GLC 2024 Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong dan Ziarah Kasih Siri 2 di RTP Sungai Klau yang akan diteruskan ke Kampung Gali Tengah esok.

Menurut beliau, melalui program sebegini, pelbagai bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat dan bertumpu malah sekiranya ia perlu disampaikan kepada pengetahuan YAB. Menteri Besar perkara tersebut juga akan menjadi lebih mudah.
“Kadang-kadang rumah yang kita ziarah tu ada yang sakit, yang perlukan bantuan, perlukan kerusi roda contohnya, perlukan bantuan kewangan, jadi kalau ada bantuan yang segera misalnya kerusi roda, kita boleh terus serahkan.
“Kalau perlukan bantuan kewangan yang besar, kita minta penduduk kampung untuk buat surat untuk saya mohon kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang pula.
“Dan di kampung ini tadi juga saya dimaklumkan ada keperluan untuk menambahbaik tanah perkuburan dari segi lampu solar, stor, dan juga pagar kubur. Jadi semua ini akan ambil masa sedikitlah,” katanya. -PAHANGMEDIA

