Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 NOVEMBER 2024 : Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) diseru agar melahirkan lebih ramai penulis muda agar tidak ketandusan sasterawan yang turut memberikan sumbangan dalam pembangunan sejarah di Pahang.
Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, suatu ketika dahulu Pahang memiliki ramai penulis dan sasterawan hebat yang telah mencipta nama di peringkat tertinggi.
“Saya harap sangat DPMP boleh mainkan peranan agar lahirkan lebih ramai penulis-penulis muda, Pahang sebelum ini berjaya lahirkan ramai penulis dan sasterawan yang hebat jadi jangan akhirnya kita ketandusan penulis-penulis ini yang mana sumbangan dan peranan mereka sangat besar kepada pembangunan dan juga sejarah Negeri Pahang itu sendiri, sebab itulah saya bagi sokongan kepada filem ini yang diadaptasi daripada novel yang penulisnya berasal dari Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Tontonan Filem ‘Mereka Yang Tertewas’ adaptasi novel Karya Hasanuddin Md Isa di GSC Kuantan City Mall.
Pada tayangan itu, beberapa barisan produksi turut hadir antaranya Pengarah Filem Mereka Yang Tertewas, YH. Dato’ Zulkifle M. Osman dan pelakon utama, Fiza Halim.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), YH. Dato’ Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil, Naib Presiden DPMP, Tuan Haji Asmui Mustapha dan barisan kepimpinan Kerajaan Pahang.
Menurutnya, Kerajaan Pahang sentiasa terbuka untuk membantu penggiat filem yang berhasrat melakukan penggambaran berkisar Negeri Pahang sebagai langkah promosi kepada negeri itu sendiri.
“Sebenarnya sebelum ini pun kita banyak bantu filem-filem tertentu mungkin dari segi dana, lokasi-lokasi penggambaran, kalau kita tengok tadi lokasi dalam filem ‘Mereka Yang Tertewas’ ini sangat cantik, saya tengok kehidupan nelayan yang saya difahamkan oleh pengarah filemnya, Dato’ Zulkifle M. Osman, kebanyakan penggambaran ini, 100 peratus penggambaran ini dilakukan di Pahang, jadi secara tak sengaja sebenarnya filem ini mempromosi juga lokasi-lokasi menarik di Negeri Pahang,” katanya.
YB. Tuan Fadzli berkata, tayangan filem ini adalah bertepatan dengan norma masyarakat pada hari ini yang perlu diperjelas tentang dakwah dan penyebaran agama Islam itu sendiri. -PAHANGMEDIA

