Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 NOVEMBER 2024 : Karnival Tanah Pahang anjuran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang telah berjaya mengutip hasil sebanyak hampir RM250 juta bagi tahun ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, karnival tanah ini adalah inisiatif bagi mendidik rakyat sebagai pembayar cukai tanah.
“Syabas dan tahniah kepada Pengarah serta seluruh warga PTG Negeri Pahang yang telah berjaya menganjurkan Karnival Tanah Pahang 2024 untuk tahun ke-2, di mana ia merupakan satu program inisiatif untuk mendidik rakyat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai tanah.
“Malah, saya difahamkan sepanjang Karnival Tanah Pahang ini berlangsung setakat 10 November 2024, sebanyak RM249.959 juta hasil telah berjaya dikutip oleh pentadbiran tanah dan ini merupakan satu kejayaan yang perlu tuan-tuan dan puan-puan semua banggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 (APC) Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Pahang (PTG) di Dewan Astana, Hotel Grand Darulmakmur.
Turut hadir, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Pengarah Tanah dan Galian Pahang, YH. Dato’ Hamdan Hussin.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja keras dalam memberikan sumbangan dan kejayaan kepada Kerajaan Negeri Pahang.
“Apa-apa pun, kalau kita hendak mencapai sasaran baharu ini, tuan-tuan dan puan-puan perlulah bersama-sama menggembleng tenaga, terutamanya dalam mengurus ketirisan dan kebocoran hasil, di samping meneroka potensi-potensi pendapatan baharu yang boleh membantu kewangan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau dalam majlis berkenaan turut mengumumkan pencapaian kutipan hasil sebanyak RM1.06 bilion setakat 13 November yang mana ia merupakan tahun ketiga berturut Kerajaan Negeri Pahang berjaya mencapai hasil melebihi RM1 bilion.
“Antara kejayaan yang paling besar sekali adalah kita berjaya mengutip hasil berjumlah RM1.06 bilion setakat hari ini, 13 November 2024, yang bagi saya ia merupakan satu rekod yang cukup luar biasa.
“Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut kita berjaya mencapai hasil melebihi RM1 bilion dan kejayaan memperoleh hasil melebihi RM1 bilion ini bukanlah datang bergolek, tanpa usaha keras. Ianya adalah hasil kerja kuat bersengkang mata dan kesepaduan tenaga semua pihak yang terlibat,” katanya. -PAHANGMEDIA

