Oleh : Yusof Tashfin
TEMERLOH, 14 NOVEMBER 2024 : Masyarakat FELDA di negeri Pahang disarankan agar terus merapatkan ukhuwah dan mengelakkan perpecahan.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, ukhuwah dan hubungan silaturrahim yang telah dibina oleh masyarakat FELDA sejak dahulu haruslah dikekalkan.

“Janganlah ada sebarang persengketaan sesama kita disebabkan perkara-perkara tidak penting yang boleh merosakkan ketenangan dan kebahagiaan kita.
“Kita juga tidak boleh biarkan anasir-anasir luar cuba untuk mengganggu-gugat hubungan silaturrahim antara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Bacaan Yaasiin Bersama GPW yang diadakan bersempena dengan Program Komuniti Malaysia MADANI Warga FELDA di Masjid Jamek FELDA Jenderak Utara, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam program ini ialah Ahli Dewan Negeri Kawasan Jenderak, YB Dato’ Rodzuan Zaaba.
Program Komuniti Malaysia MADANI Warga FELDA merupakan program yang diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman berkenaan hala tuju dan matlamat kerajaan kepada warga FELDA dan masyarakat sekitar.
Program ini dilaksanakan di 11 Wilayah FELDA dengan FELDA Wilayah Jengka dan Mempaga menjadi wilayah perintis. -PAHANGMEDIA

