Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 14 OKTOBER 2024 : Pahang antara lima negeri yang menerima sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) untuk Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 yang telah dikemukakan antara Januari hingga Jun 2024.
Ketua Audit Negara, YBhg Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, selain Pahang, empat negeri lain yang turut menerima sijil itu ialah Johor, Perak, Sarawak dan Sabah.
“Sebanyak 13 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 telah dikemukakan antara bulan Januari hingga Jun 2024. Kedudukan Sijil Ketua Audit Negara adalah seperti berikut:
“Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) – 5 negeri (Johor, Pahang, Perak, Sarawak dan Sabah) manakala Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) dengan Perenggan Hal-hal Lain (Other Matters) – 8 negeri (Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai Kerajaan dan Agensi Negeri yang dibentangkan di Parlimen, hari ini.
Datuk Wan Suraya telah mengemukakan 260 syor untuk mempertimbangkan pelaksanaannya oleh Kementerian/ jabatan/ agensi serta syarikat Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

