KUANTAN, 15 OKTOBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar semua mangsa banjir di negeri ini bersabar dengan musibah yang menimpa.
Paduka Baginda bertitah, perubahan cuaca yang agak ekstrim memerlukan persediaan yang lebih cepat bagi mengelakkan sebarang risiko lebih buruk.
“Sekarang ini cuaca tak menentu akibat climate change dan kita harus bersedia. Tahun ini agak cepat sikit (banjir) berbanding tahun-tahun terdahulu dan kita harap (banjir) habis cepat jugalah. InsyaAllah, kita sama-sama doa.
“Seperi biasa saya harap (mangsa) dengar nasihat pegawai-pegawai kerajaan (yang bertugas), jangan ingkar arahan khususnya bila air naik waktu malam kena pindah cepat.

“Di PPS (pusat pemindahan sementara) pula saya harap jagalah kebersihan, jangan cepat naik darah atau nak menyalahkan mana-mana pihak.
“Saya harap pegawai kerajaan dan sukarelawan yang bertugas dapat beri bantuan sebaik mungkin, jangan pilih kasih..salinglah bantu membantu sesama kita,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berangkat bercemar duli melawat dan menyampaikan kurniaan kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Seri Semantan, Temerloh.
Sebelum itu, Paduka Baginda berkenan melawat dan menyampaikan kurniaan kepada mangsa-mangsa banjir di SK Desa Bakti.
Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah agar projek tebatan yang telah dirancang di kawasan-kawasan berisiko banjir dapat disegerakan bagi mengatasi musibah ini daripada terus berulang.
“Saya harap kurangkan retorik, cepatkan proses pembinaan projek tebatan khususnya di Temerloh seperti di Sungai Semantan ini, Bentong, Lipis Dan Kuantan.
“Saya dimaklumkan sudah ada projek kecil-kecilan telah dilakukan, jadi saya harap (projek) yang besar ini pun dipercepatkan. Sungai-sungai boleh diperdalamkan lagi, jadi kuranglah risiko air melimpah keluar,” titah Paduka Baginda. -PAHANGMEDIA

