Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 13 OKTOBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menasihatkan agar tiada pihak ketiga cuba mengeruhkan keadaan berkaitan isu 32 peniaga di Kea Farm, Cameron Highlands.
Paduka Baginda bertitah ini bagi memastikan sebarang permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik
“Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar isu 32 orang peniaga di Cameron Highlands dapat diselesaikan dengan baik.
“Paduka Baginda menegaskan bahawa isu berkenaan turut berada dalam perhatian Paduka Baginda dan semua maklumat berkaitan telah sampai ke pengetahuan Paduka Baginda.
“Paduka Baginda bertitah telah mendapat laporan daripada pihak YAB Menteri Besar Pahang dan kerajaan berkenaan permasalahan tersebut” menurut satu kenyataan di laman sosial Facebook Kesultanan Pahang hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, Paduka Baginda turut menzahirkan perasaan berpuas hati dengan laporan yang telah dipersembahkan kepada baginda.
“Paduka Baginda berpuas hati dengan laporan yang telah dipersembahkan dan meminta semua pihak akur dengan keputusan Kerajaan Negeri.
“Paduka Baginda turut menasihatkan agar tiada pihak ketiga cuba mengeruhkan keadaan bagi memastikan sebarang permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik,” katanya. -PAHANGMEDIA

