Oleh : Fairus Mohd
RAUB, 31 MEI 2024 : Seorang pengarah syarikat pembinaan didenda sebanyak RM30,000 hari ini selepas didapati bersalah di atas pertuduhan menyebabkan pencemaran air di Tasik Habu, Cameron Highlands.
Setelah mendengar hujahan rayuan daripada pihak peguambela dan hujahan pemberatan daripada pihak pendakwa, Hakim Mahkamah Sesyen Raub, Noor Asiah Mohamed memutuskan Sivakumar a/l Ponnusamy, 47, perlu membayar denda tersebut dan jika gagal boleh dikenakan hukuman penjara selama lima bulan.
Mengikut kertas pertuduhan, Sivakumar telah menyebabkan pepejal terampai dari kawasan kerja tanah yang dilakukan di PT 3476, HSD 5147 Mukim Ringlet dilepaskan ke tasik berkenaan dengan cara tidak menyelenggara kolam sadimen yang dibina di kawasan kerja tanah tersebut.
Kesalahan berkenaan dilakukan pada 17 Februari tahun lalu kira-kira 9.30 pagi di mana kandungan biologi dalam kolam sadimen itu telah menyebabkan sebahagian daripada Tasik Habu yang merupakan sumber air bagi operasi penjanaan tenaga elektrik di Stesen Janakuasa Sultan Yussuf menjadi berbahaya.
Dua sampel air telah diambil daripada kawasan tapak projek dan dihantar kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Jabatan kimia melalui satu surat dan laporan bertarikh 13 Mac 2023 menyatakan bahawa bacaan sampel pertama (upstream) ialah 8300 NTU dan bacaan sampel kedua (downstream) ialah 1100 NTU. Standard kualiti air kebangsaan bagi kelas dua telah ditetapkan hanya 50 NTU.
Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang, Muhammad Najmi Zaki bin Amer Suhaimi manakala Sivakumar yang diwakili peguam Varunchelvam Manimuthu daripada Rama-Rozi & Assoc. -PAHANGMEDIA

