Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 MEI 2024 : Rumput jenis Bermuda akan digunakan di Stadium Darul Makmur selepas kerja-kerja penggantian rumput sedia ada akan dilaksanakan bermula pertengahan Ogos tahun ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata penggantian rumput ini dijalankan bagi meningkatkan kualiti penggunaan dan penyelenggaran padang pada masa akan datang.

“Padang atau rumput di Stadium Darul Makmur akan dinaiktaraf pada pertengahan Ogos ini di mana rumput sedia ada sekarang iaitu cow grass akan diganti dengan rumput jenis Bermuda.
“Rumput jenis Bermuda ini akan lebih baik dari rumput cow grass terutama dari serapan air, lebih bersih, dan diikitiraf di peringkat antarabangsa.
“Saya dimaklumkan penukaran dan proses naiktaraf rumput ini akan mengambil masa selama enam bulan dengan anggaran kos sebanyak RM1.6 juta,” katanya.

Beliau berkata usaha menaiktaraf rumput yang digunakan di stadium ini merupakan salah satu langkah permodenan imej Stadium Darul Makmur yang sedang giat dilakukan.
“Selepas ini banyak lagi pembaharuan lain yang akan dilakukan oleh Perbadanan Stadium Darul Makmur,” katanya.
Tambah beliau lagi, Perbadanan Stadium Darul Makmur juga menawarkan harga yang rendah kepada orang ramai yang ingin menggunakan padang stadium sehingga pertengahan Ogos.
“Kadar sewaan pada sebelah siang selama 2 jam hanya perlu bayar RM500 sahaja dan kadar pada sebelah malam untuk tempoh yang sama hanya perlu bayar RM1,000 sahaja.
“Anak-anak Pahang yang berminat boleh daftar di laman web Perbadanan Stadium Darul Makmur untuk bermain atau menggunakan padang ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

