Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 17 MEI 2024 : Seorang pekebun haram durian Musang King tidak mengaku salah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub hari ini di atas pertuduhan menceroboh tanah kerajaan bagi tujuan penanaman pokok durian dan penternakan ikan kolam.
Mengikut fakta pertuduhan, Tengku Mohd Mujahiddin Tengku Abu Bakar Sidik, 50, didakwa telah meneroka kira-kira 47 ekar tanah karajaan secara haram dengan menanam 300 batang pokok durian jenis Musang King dan membuat 30 buah takungan kolam ternakan ikan.
Kesalahan berkenaan dikesan ketika operasi bersepadu yang dilakukan pada 8 Mei lalu di Sungai Kenong, Mukim Tras dalam daerah Raub oleh pegawai penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pejabat Hutan Daerah Raub.
Di lokasi sama, pegawai serbuan telah menahan lapan lelaki termasuk enam orang warganegara asing yang diupah melakukan kerja-kerja menjaga dusun durian dan kolam ternakan ikan sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Ruan.
Anggota serbuan juga telah menyita tiga buah pacuan empat roda dan enam buah motosikal serta telah menyerahkan notis perampasan di bawah Seksyen 426A(5) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828.
Siasatan lanjut melalui Pejabat Daerah dan Tanah Raub juga mendapati kordinat lokasi tapak kolam ternakan ikan dan dusun durian tersebut berada di atas tanah kerajaan dan tiada sebarang kelulusan permit diberikan di atas kawasan berkenaan.
Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 425(1) (a) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828, tertuduh berhadapan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun.
Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang, Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi yang meminta tertuduh dikenakan wang jaminan sebanyak RM20,000.
Tengku Mohd Mujahiddin yang tidak diwakili peguam merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung keluarga termasuk seorang anak OKU.
Hakim Noor Asiah Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes. – PAHANGMEDIA

