Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
ROMPIN, 17 MEI 2024 : Majlis Pemukiman Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang diadakan bagi memastikan penambahbaikan dari pelbagai aspkek dapat meningkatkan kualiti persembahan kepada komuniti setempat selain meningkatkan lagi fungsi-fungsi PBT.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sesi pemukiman ini juga dapat menjadi medium perbincangan dan pertukaran pendapat di kalangan peserta terlibat.
“Apa yang saya harapkan daripada sesi pemukiman ini adalah kita dapat menghasilkan satu halatuju yang baru, lebih berkesan dan mantap atas usaha semua PBT ini, menggembleng tenaga dan seterusnya dapat memacu Negeri Pahang menjadi lebih maju lagi, cemerlang dalam negara kita.
“Saya dapati banyak PBT telah mencapai kecemerlangan dengan menerima pelbagai anugerah sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa, jadi dengan adanya pemukiman ini dapat kita berkongsi pandangan-pandangan sesama kita dan dapat mewujudkan sinergi bagi menghasilkan perkongsian maklumat ini supaya dapat dilaksanakan di semua PBT di Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sesi Pemukiman Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang di Berjaya Tioman Resort di sini semalam.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, Pengurus Besar Lembaga Pembagunan Tioman (TDA), YH. Dato’ Haji Idros Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim, Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Ir Affendi Abd Rahman, Timbalan Pengarah PlanMalaysia Negeri Pahang, YBrs Puan Suraya Haji Dahlan dan Setiausaha Bahagian BKT, YBrs Encik Che Wan Muhammed Salleh Wan Adnan.
Program yang berlangsung selama empat hari itu melibatkan semua Yang Dipertua PBT dan Setiausaha PBT dari semua daerah di Pahang bagi mempertingkatkan fungsi PBT sebagai pemangkin dan pemudahcara pertumbuhan ekonomi setempat, meningkatkan elemen Bandar Pintar dalam penawaran perkhidmatan kepada masyarakat dan pembudayaan amalan penyelenggaraan kemudahan awam secara proaktif dan sistematik. – PAHANGMEDIA

