Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
ROMPIN, 17 MEI 2024 : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melaksanakan empat fasa pada suku ketiga 2024 bagi mewujudkan “cashless society” di Negeri Pahang.
Ketua Bahagian Masyarakat dan Keterangkuman Digital SKMM, YBrs. Puan Jafizwaty Ishahak berkata, fasa pertama akan dimulakan menerusi kerjasama dengan 19 NADI di FELDA seluruh Pahang.
“Kita ada empat fasa di Pahang ini nanti, kita akan ada ‘cashless’ di NADI, kita ada 19 NADI di kawasan FELDA, dan kita ada projek rintis bersana Kerajaan Negeri, bulan ‘cashless’ dan akhir sekali ‘cashless’ Karnival untuk kempen promosi dan kesedaran,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat berkenaan “cashless society” pada Sesi Pemukiman Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang di Berjaya Tioman Resort di Tioman, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SKMM Negeri Pahang, YBrs Encik Shahrizal Husin berkata, Kerajaan Pahang juga sangat mengalu-alukan SKMM dalam pelaksanaan ‘cashless society’ dengan menyokong kempen promosi dan kesedaran dengan melibatkan pihak SKMM.
“Apabila kita mula laksanakan nanti, kami akan berhubung dengan PBT berkenaan untuk berbincang bagaimana hendak laksanakan pada fasa selanjutnya,” katanya.
SKMM mensasarkan dua kaedah bagi melaksanakan “cashless” secara menyeluruh iaitu menerusi pelaksanaan polisi pembaharuan lesen perniagaan di bawah Kerajaan Negeri, BKT dan PBT selain menjalankan kempen promosi dan kesedaran.
“Kempen promosi dan kesedaran ini berdasarkan empat tonggak utama melalui leterasi digital, literasi kewangan, keselamatan, peluang perniagaan, peluang pendapatan dan kapasiti bangunan untuk latihanlah, jadi ada tiga perkara yang kita hendak usahakan, sebanyak mungkin dapat mendekati komuniti, pastikan ada transaksi tanpa tunai dan seramai mungkin peniaga untuk terlibat dalam digital platform,” katanya.
SKMM telah menyampaikan taklimat berhubung”cashless society” kepada semua PBT seluruh Pahang pada Sesi Pemukiman Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang yang diadakan selama empat hari sehingga Ahad.
Sesi pemukiman ini diadakan bagi mempertingkatkan fungsi PBT sebagai pemangkin dan pemudahcara pertumbuhan ekonomi setempat, meningkatkan elemen Bandar Pintar dalam penawaran perkhidmatan kepada masyarakat dan pembudayaan amalan penyelenggaraan kemudahan awam secara proaktif dan sistematik. – PAHANGMEDIA

