Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 DISEMBER 2025 : Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM15,000 yang diterima hari ini memberi kelegaan kepada seorang ibu bagi menampung kos pembedahan anaknya yang menghidap masalah skoliosis.
Penerima, Puan Norhafizah Alauddin, 40, berkata anaknya dikesan mengalami masalah tulang belakang melengkung itu sejak berusia 11 tahun sebelum keadaannya semakin serius apabila meningkat remaja.
Menurutnya, doktor menyarankan agar pembedahan dilakukan selepas tahap kesakitan anaknya bertambah ketika berusia 14 tahun.
“Keseluruhan kos pembedahan lebih kurang dalam RM90,000 jugalah. Saya mencari-cari jugalah.

“Jadi dengan sumbangan yang ada ini dapat menampung serba sedikitlah saya punya yang tak berapa cukup itu,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan berkenaan.
Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang khususnya YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, atas keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.
“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Negeri Pahang terutama Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy atas sumbangan Kerajaan Negeri kepada anak saya.
“Dan kepada semua penerima-penerima sumbangan pada hari ini, saya wakilkan dia orang untuk mengucapkan jutaan terima kasih,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Pahang, Encik Mohd Zulfahmi Zulkifli, 38, turut menerima sumbangan RM30,000 bagi menjayakan penganjuran Pusaka Gayong Malaysia Championship (PGMAC) 2025.
Katanya, kejohanan berkenaan telah berjaya dilaksanakan dan pihaknya merancang untuk menganjurkan program sama pada tahun 2026.
Tambahnya lagi, sumbangan tersebut amat bermakna dalam membantu pertubuhan berkenaan bergerak lebih aktif serta memperkasa penglibatan anak-anak muda dalam seni silat Gayong di negeri ini.
“Terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Negeri Pahang yang memberi sumbangan ini kerana sumbangan ini dapat membantu sedikit sebanyak untuk kami bergiat aktif, lebih bergiat aktif di Negeri Pahang ini sendiri dan anak-anak daripada seni silat Gayong ataupun seni silat pusaka sendiri dapat memberi sokongan yang penuh kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

