Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 DISEMBER 2025 : Seramai 54 penerima menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1,344,445 hari ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, penyaluran bantuan berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membantu rakyat melalui pelbagai program kebajikan dan pembangunan, selaras dengan kemampuan kewangan negeri.
“Kerja kita ialah kita bantu rakyat, supaya rakyat dapat kemudahan, dapat bantuan. Ikut kemampuan Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah, setakat hari ini, kita dari segi kewangan kita, walaupun tidak banyak, tetapi kita ada lebihan yang kita boleh bagi balik kepada rakyat,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian cek sumbangan berkenaan.
Tambahnya, setiap program yang dilaksanakan bukan sekadar pertemuan bersama rakyat, sebaliknya memberi manfaat secara langsung melalui bantuan dan kemudahan yang diperlukan.
Beliau bersyukur kerana pengurusan kewangan Kerajaan Negeri Pahang yang berhemah membolehkan lebihan kewangan dikembalikan semula kepada rakyat walaupun hasil negeri tidak terlalu besar.
“Kita ada hasil setiap tahun melebihi RM1 bilion. Dan komitmen Kerajaan Negeri ialah untuk memastikan hasil tersebut dikembalikan kepada rakyat.

“Sebab itulah kita boleh bagi bantuan kepada anak-anak untuk sekolah, kita boleh bagi anak-anak masuk universiti, kita boleh bagi yang sakit, bagi kepada imam, rawatan dan macam-macam lagi,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama turut menasihatkan semua penerima agar menggunakan sumbangan yang diberikan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup masing-masing.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Program Transformasi Desa Pahang (TERAS) telah dijenamakan semula sebagai Kampung Angkat Berpotensi Negeri (BN) bagi memberi fokus kepada pembangunan kampung-kampung yang dikenal pasti mempunyai potensi ekonomi dan sosial.
Katanya, pelaksanaan program tersebut akan dipertanggungjawabkan kepada syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) yang mencatatkan keuntungan bagi menyalurkan lebihan kewangan mereka kepada pembangunan kampung angkat.-PAHANGMEDIA

