Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Seramai 21,798 perantau anak Pahang yang bermastautin dan bekerja di luar Pahang telah mendaftar kepada Sekretariat Perantau Anak Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata Penubuhan Sekretariat Perantau Anak Pahang ini adalah manifestasi kepedulian dan keprihatinan tidak berbelah bahagi Kerajaan Negeri Pahang terhadap kebajikan dan keberadaan perantau anak Pahang walau di mana jua mereka berada.
“Antara objektif utama penubuhan Sekretariat Perantau Anak Pahang ini adalah untuk berfungsi sebagai One Stop Centre kepada perantau anak Pahang bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan benar berhubung segala inisiatif serta polisi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sabai, YB Tuan V Arumugam A/L A Veerappa Pillai Daud pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Selain itu, YB. Tuan Fadzli berkata, Kerajaan Negeri Pahang akan terus melaksanakan pelbagai program dan inisiatif lagi termasuk dari segi kebajikan untuk manfaat perantau anak Pahang, bukan sahaja bagi mereka yang berada di Lembah Klang, tetapi juga di negeri-negeri lain.
“Ini kerana, menerusi Sekretariat Perantau Anak Pahang, Kerajaan Negeri berhasrat memastikan limpahan kebajikan turut dinikmati perantau anak Pahang di samping penyaluran maklumat yang tepat berdasarkan prestasi semasa Kerajaan Negeri.
“Sambil membendung persepsi negatif yang cuba ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial, yang bertujuan menjejaskan reputasi dan kredibiliti Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Sementara itu, beliau juga memberitahu bahawa Sekretariat Perantau Anak Pahang ini sedang memperolehi data-data di kalangan perantau anak Pahang untuk disaring dan akan diadakan perjumpaan khusus untuk menawarkan kepada mereka peluang dari segi latihan atau pekerjaan.
“Misalnya, Pahang Skill yang menyediakan peluang latihan kemahiran kepada pelajar-pelajar dalam tempoh tiga bulan, enam bulan dan setahun dalam bidang kemahiran untuk mereka ceburi sekaligus boleh berkhidmat di Negeri Pahang bila tamat pengajian kelak,” katanya.
Jelas beliau lagi, dari sudut pentadbiran, mungkin kita boleh adakan sesi-sesi bersama dengan Exco-Exco Kerajaan Negeri yang terlibat untuk kita berkongsi maklumat-maklumat ini dengan mereka.
Ia menjawab soalan tambahan daripada ADUN Tanah Rata, YB Tuan Ho Chi Yang yang bertanya mengenai peluang yang boleh disediakan untuk anak-anak perantau Pahang ini jika mereka kembali ke Negeri Pahang.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa setiap perantau anak Pahang agar mendaftar kepada Sekretariat Perantau Anak Pahang melalui google form yang terdapat di Facebook Sekretariat Perantau Anak Pahang dan Tiktok Perantau Anak Pahang.
“Para perantau juga boleh menghadirkan diri terus ke pejabat Sekretariat Perantau Anak Pahang yang bertempat di tingkat 6, World Trade Centre, Kuala Lumpur untuk sebarang urusan termasuk pendaftaran,” katanya. -PAHANGMEDIA

