Oleh: Fairus Mohd & Fansurina Abdullah
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Kerajaan Pahang menyasarkan sebanyak 90 peratus isu permasalahan air di negeri ini dapat diatasi menjelang tahun 2026 dengan 43 peratus (103 projek) dirancang telah pun berjaya disiapkan sehingga kini dengan nilai RM121.2 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini menunjukkan komitmen Kerajaan Pahang dalam menangani isu permasalahan bekalan air dan memberikan keselesaan kepada rakyat.
“Projek Pembangunan Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang Fasa 1 kini sedang giat dilaksana dengan status semasa sebanyak 43 peratus iaitu 103 buah projek bernilai RM121.2 juta sudah siap dilaksanakan, 32 projek sedang dilaksana bernilai RM461 juta ringgit dan 82 projek sedang di peringkat pra-pembinaan bernilai RM1.91 billion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menegaskan bahawa isu bekalan air di Pahang memerlukan peruntukan yang besar, tempoh masa yang panjang serta komitmen yang cukup tinggi seperti yang sedang diusahakan Kerajaan Negeri Pahang melalui oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Menurutnya, banyak faktor perlu diselesaikan termasuk menaiktaraf loji, tangka-tangki usang dan uzur serta penggantian paip lama jenis AC (Asbestos Cement) terlalu uzur dan sering pecah secara berjangkit.
“Kos perbelanjaan modal (CAPEX) untuk meningkatkan taraf perkhidmatan air sebenarnya adalah amat tinggi dan sehubungan dengan itu tarif air domestik dinaikkan selepas 41 tahun tiada sebarang semakan bagi memastikan pembekalan air kepada pengguna lebih terjamin dan seiring dengan kemajuan dan pembangunan yang semakin meningkat di Pahang.
“Sehingga kini, alhamdulillah kita mula dapat melihat hasil positif di mana kedudukan kewangan PAIP lebih stabil dan semakin mengukuh, pelbagai projek-projek CAPEX telah dibuat di samping kerja-kerja operasi (OPEX) terus dijalankan. Untuk rekod, bagi Fasa 1 sahaja, pembiayaan sebanyak RM926 juta ringgit telah diluluskan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), dan PAIP juga di dalam proses perbincangan untuk tambahan RM 700 juta ringgit lagi peruntukan,” katanya. -PAHANGMEDIA

