Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Kerajaan Pahang telah meluluskan Cadangan Penyeragaman Penggunaan Jenis Tulisan serta Saiz Tulisan Jawi melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang Ke-15/2019 bertarikh 29 Mei 2019.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata kerajaan negeri berkuatkuasa dalam memantau penyeragaman penggunaan Jawi.
“Cadangan penyeragaman penggunaan jenis tulisan termasuk saiz tulisan Jawi pada papan tanda tunjuk arah, papan iklan premis perniagaan, papan tanda bangunan dan papan tanda jalan/ lorong di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang.
“Hanya jenis perniagaan yang disyaratkan sahaja perlu disertakan dengan tulisan Jawi manakala perkataan adalah terpulang kepada pemilik perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Damak, YB Tuan Haji Zuridan Bin Mohd Daud pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin juga berkata Kerajaan Negeri Pahang juga telah mengeluarkan sebanyak 110 kompaun berjumlah RM15,440.00 telah dikeluarkan kepada pihak-pihak yang tidak mengikut arahan pelaksanaan papa tanda tulisan jawi sehingga 31 Disember 2023
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa jenis tulisan jawi yang boleh digunakan adalah Sakkal Majalla, Uthman ataupun Arabic Style manakala ukuran saiz tulisan jawi yang dicadangkan adalah sama ada sama saiz atau minima separuh daripada tulisan rumi yang daripada papan tanda
Selain itu, bagi tujuan semakan ejaan perkataan untuk tulisan-tulisan jawi boleh dirujuk dan mendapat pengesahan daripada Munsyi Dewan Jawi di UnIPSAS terlebih dahulu.
“Sekiranya kita ada terlihat mana-mana papan tanda yang kita nampak salah, kita boleh maklumkan pada pihak Majlis daerah ataupun Kerajaan Tempatan terbabit untuk diperbetulkan,” katanya.
Ia menjawab soalan tambahan daripada Dato’ Sri Johari Hussain yang bertanya mengenai bagaimana Kerajaan Negeri Pahang menangani kesalahan tulisan jawi yang dipamerkan pada papan tanda berkaitan. -PAHANGMEDIA

