Oleh : Ain Nadhirah Basha
TEMERLOH, 18 MAC 2024 : Program Ziarah Kasih Bekas Ahli Dewan Negeri Pahang Bersama Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang disifatkan sebagai satu amalan yang bagus dalam menyambung silaturahim.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, YH. Dato’ Syed Hamid Syed Mohamed, 72, berkata program ini juga dapat menjadi platform menyuarakan pandangan mereka.
“Ini (program ziarah) merupakan satu amalan yang bagus, yang dilaksanakan oleh Dato’ Sri Shakar dan kepimpinan beliau dan ia dapat merapatkan kembali silaturahim antara kami bekas ADUN yang dah lama ini.
“Kita juga dapat menyampaikan hasrat hati, dan juga masalah untuk kebaikan kita bersama. Saya cukup gembira atas kedatangan Dato’ Sri Shakar hari ini,” katanya.

Beliau yang menjadi ADUN selama dua penggal bermula 2008 sehingga 2018 turut melahirkan harapan supaya program ini diteruskan pada masa akan datang.
Sementara itu bekas ADUN Guai, Tuan Haji Abdul Aziz Yaakob, 76, melahirkan penghargaan dengan ingatan Kerajaan Negeri Pahang kepada bekas wakil rakyat.
“Segala sumbangan yang diberi ini saya ucapkan berbanyak terima kasih khususnya kepada Dato’ Sri Sharkar dan Menteri Besar Pahang.
“Terima kasih atas lawatan dan ingatan Kerajaan Negeri Pahang kepada bekas ADUN dah lama macam saya,” katanya yang berkhdimat selama satu penggal pada 1999.
Sementara itu, Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Shakar Shamsuddin berkata program ziarah kasih ini akan dijalankan secara berterusan sebagai tanda ingatan dan penghargaan Kerajaan Negeri Pahang kepada mereka yang pernah menabur bakit dan khdimat di negeri ini. -PAHANGMEDIA

