Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 18 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mengingatkan rakyat Pahang agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang ajaran sesat.
Baginda bertitah agar rakyat terus berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak mencari agama dengan jalan mudah sehingga terpedaya.
“Jangan mudah tertarik, jangan terpengaruh dengan ajaran-ajaran sesat ini. Ini akan memecahbelahkan rakyat, merosakkan pemikiran.
“Kita lihat banyak kes yang berlaku sebelum ini, yang melibatkan ajaran sesat. Saya harap rakyat Pahang tidak terpengaruh. Biarlah pihak polis buat siasatan lanjut,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian kepada Pahang Media selepas berkenan bercemar duli mendengar persembahan Taklimat Pembagunan Daerah Temerloh di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, hari ini.
Turut berangkat mengiringi baginda adalah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mengulas lanjut berkenaan penyebaran ajaran sesat dibawa pengikut Ayah Pin yang didakwa telah merebak ke negeri ini, baginda maklum bahawa pihak polis sedang menjalankan siasatan.
“Saya maklum mengenai laporan (ajaran sesat) dan polis sedang menjalankan siasatan. Ini mengambil sedikit masa untuk mendapat maklumat lanjut melalui siasatan yang dijalankan (berkenaan dakwaan penularan ajaran sesat).
“Maklumat atau perkara lanjut berkaitan laporan dan siasatan boleh dirujuk kepada polis,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

