Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2023 : Proses merawat sisa organik serta pengkomposan sisa pepejal di Cameron Highlands boleh dilaksanakan bagi mencapai Inisitif Hijau.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sepanjang lawatan kerja di daerah berkenaan beliau turut memberi pandangan dan cadangan demi penambahbaikan kerja-kerja yang dilaksanakan termasuk berkenaan pengurusan sisa pepejal.
“Semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam menjaga dan memulihara kebersihan, keindahan alam semula jadi di Cameron Highlands.
“Destinasi tanah tinggi terkenal ini menjadi tumpuan lebih setengah juta pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun. Cameron Highlands salah satu sumber pembangunan ekonomi rakyat Pahang dan negara,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam lawatan kerja selama dua hari berkenaan Kerajaan Pahang bersyukur diatas kelulusan projek Peruntukan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tahun 2023 dan 2024 yang membantu pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Beberapa perkara berkaitan Kerajaan Tempatan di Pahang telah dibincangkan. Antaranya penangguhan Permohonan Naik Taraf Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) oleh Pihak Kerajaan Negeri; arahan Meningkatkan Pemantauan dan Penguatkuasaan Terhadap Isu Pengubahsuaian Bangunan dan Rumah Kediaman yang Menyalahi Akta 133 dan Akta 171 di Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Penyenggaraan dan Pembersihan Longkang dan Parit dalam Kawasan Bandar diseluruh Pahang; penyeragaman Penggunaan Tulisan Jawi pada Papan Tanda Premis Perniagaan; permohonan Cadangan Projek Pembangunan di bawah Peruntukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); dan permohonan Cadangan Projek Pembangunan bagi Peruntukan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata penyelenggaraan cekap dan berterusan penting untuk dilaksanakan oleh pihak PBT termasuklah kerja pembesaran dan pembersihan longkang dalam bandar di seluruh Pahang.
“Setiap PBT perlu melakukan penyelarasan kerja dengan konsesi dan sediakan pelan lokasi kawasan selenggara yang dilaksanakan konsesi dibawah seliaan PBT.
“Satu Sesi Dialog Bersama Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, YH Dato’ Mohd Fadzli Mohd Kenali juga diadakan semalam membincangkan beberapa perkara berkaitan Kerajaan Tempatan terutamanya Kelulusan Projek Pembangunan Peruntukan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tahun 2023 dan 2024 yang akan memberi manfaat besar demi kesejahteraan rakyat di Negeri Pahang.
“Antaranya Projek Pembinaan Kolam Takungan, Longkang, Cerun, Kiosk di bandar-bandar dalam negeri Pahang, menyelenggara Lampu Jalan dan menggantikan kepada Jenis LED, Projek Naik Taraf Sistem Perparitan dan Longkang,” katanya.
Beliau dalam lawatan berkenaan turut meninjau Projek Jalan MARRIS di Kampung Sedia; Projek Membina Baharu 4 Unit Kiosk di Tanah Rata; Projek Membina Laluan Jalan Kaki dan Berbasikal; serta kerja-kerja yang berkaitan di Padang Awam, Tanah Rata serta beberapa projek lain yang dilaksanakan di Cameron Highlands demi kesejahteraan rakyat. -PAHANGMEDIA

