Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 20 November 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dijangka berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur pada Sabtu ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, pelbagai acara dan aktiviti direncanakan buat orang ramai sepanjang sambutan itu bermula pada Khamis ini.
“Pelbagai acara dirancang sempena 50 tahun Stadium Darul Makmur ini bermula pada hari ini di mana telah diadakan Kejohanan Sukan Antara Stadium SeMalaysia di mana tujuh stadium mengambil bahagian.

“Bermula pada 23 November ini pula, acara penuh diadakan di pekarangan Stadium Darul Makmur ini sebagai pengisian menjelang acara kemuncak pada 25 November ini.
“Jadi, bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang dan Perbadanan Stadium Darul Makmur, saya mengambil kesempatan ini untuk menjemput seluruh rakyat Pahang untuk bersama-sama pada 25 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, petang tadi.
Menurutnya, pada majlis sambutan itu turut diadakan pelancaran logo baharu Perbadanan Stadium Darul Makmur di samping persembahan oleh lebih 400 pelajar sekolah seluruh Kuantan.
Selain persembahan nyanyian oleh Dato’ Jamal Abdillah, Ameng Spring dan Ara Johari, orang ramai yang hadir juga berpeluang memenangi cabutan bertuah berupa sebuah kereta Myvi dan tiga motorsikal Y15ZR.
Stadium Darul Makmur telah disempurnakan perasmiannya pada 30 September 1973 oleh Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah Shah. – PAHANGMEDIA

