Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2023 : Sukan Antara Stadium Se-Malaysia (SUKAS) menjadi platform kepada stadium-stadium yang terlibat untuk berinteraksi dan bertukar pandangan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata sukan yang julung kali diadakan ini juga dapat membantu dari segi penambahbaikan dan bertukar maklumat.
“Selain daripada bersukan, kita telah minta agar disediakan satu platform agar Perbadanan Stadium dari seluruh negara yang mengambil bahagian dalam SUKAS ini turut berbincang dan mendapatkan maklumbalas tentang operasi atau gerak kerja di stadium masing-masing.

“Ini khususnya bagi memastikan program penjanaan kewangan untuk stadium masing-masing itu dapat dikongsi secara bersama antara stadium.
“Sebenarnya yang pertama sekali sempena Sambutan 50 Tahun Stadium Darul Makmur, yang kedua untuk mengeratkan hubungan antara stadium yang ada dari seluruh negara melibatkan semua negeri, dan yang pastinya menjadi platform stadium-stadium ini khususnya di kalangan kakitangan, pegawai berinteraksi sesama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sukan Antara Stadium Se-Malaysia 2023 (SUKAS), di CMI Hall Megamall yang turut dihadiri, Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri Hassan.
Menurut beliau lagi, setakat ini sukan yang mempertandingkan tiga acara ini diharap dapat diteruskan pada tahun hadapan oleh perbadanan stadium negeri lain.
Seramai 230 peserta daripada tujuh perbadanan stadium iaitu Perbadanan Stadium Pahang; Perbadanan Stadium Malaysia; Perbadanan Stadium Kedah; Perbadanan Stadium Perlis; Perbadanan Stadium Terengganu; Perbadanan Stadium Kelantan; dan Perbadanan Stadium Johor. -PAHANGMEDIA

