Oleh : Fansurina Abdullah
BENTONG, 6 OKTOBER 2023 : Program Beras Makmur yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pahang merupakan inisiatif kerajaan melalui program subsidi harga jualan dan bukanlah diberikan percuma sebagaimana dakwaan oleh Ketua Armada Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi Akhbar Sinar Harian, hari ini.
Dalam kenyataan itu, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil sebarang tindakan selepas pihak Kerajaan Negeri mengagih beras percuma secara terbuka dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.
Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Encik Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer berkata, Program Beras Makmur merupakan program subsidi harga jualan menerusi kerjasama di antara Kerajaan Pahang dengan Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) melalui anak syarikatnya, OEL Distribution (KL) Sdn. Bhd.
Jelasnya, OEL Distribution (KL) Sdn. Bhd akan membekalkan sebanyak 5,000 pek beras putih import 10 kilogram yang dijual pada harga subsidi iaitu RM25 bagi setiap pek.
“Harga jualan RM25 adalah harga selepas subsidi sebanyak RM11 di mana Kerajaan Negeri akan menanggung jumlah tersebut dengan keseluruhan RM55,000,” katanya ketika diminta mengulas berhubung dakwaan Ketua Armada Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
Beliau berkata, Program Beras Makmur ini akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh Pahang bagi memastikan setiap rakyat yang memerlukan dapat menikmati harga subsidi bagi mendapatkan makanan asas seperti beras.
“Program sama akan turut diadakan pada hari Ahad ini di Kuala Lipis bagi membolehkan masyarakat setempat boleh mendapatkan beras 10kg pada harga subsidi RM25,” katanya.
Semalam, sebanyak 5,000 pek beras tempatan dijual pada harga subsidi kepada penduduk di DUN Pelangai selepas Majlis Pelancaran Dan Jualan Beras Makmur oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. – PAHANGMEDIA

