Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 09 FEBRUARI 2026 : Jabatan Kerja Raya (JKR) memperuntukkan RM6.246 juta bagi pembaikan dan penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat di seluruh negeri Pahang bagi tahun ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, kesemua kerja berkenaan dijangka selesai pada suku pertama tahun ini.
“Seramai 155 kontraktor telah diterima dan disenaraikan sebagai peserta cabutan undi pada Majlis Kerja Undi Bersama Kontraktor Elektrik Negeri Pahang.

“Ia melibatkan kerja-kerja elektrik lampu jalan gelap yang berisiko kemalangan, pembaikan lampu jalan, dan lampu isyarat akibat banjir, penyelenggaraan lampu jalan dan kerja elektrik bangunan kerajaan di bawah RM200,000 bagi setiap kerja yang melibatkan seluruh Negeri Pahang.
“Setakat hari ini sebanyak 67 kerja telah diluluskan dengan kos RM6.246 juta. Jadi suku pertama tahun ini akan selesai semua kerja-kerja ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Libat Urus dan Majlis Kerja Undi Bersama Kontraktor Elektrik Negeri Pahang di Auditorium RTM.

Sementara itu menurut Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik JKR Malaysia, YBhg. Dato’ Ir. Ismail Hashim, Pahang merupakan negeri terbaik dalam pengagihan peruntukan penyelenggaraan.
“Untuk makluman, tahun lepas, Pahang ni yang terbaik dalam mana-mana negeri sebab dia dapat menghabiskan duit peruntukan penyelenggaraan.
“Yang kita bagi pada tahun lepas, banyak juga, dalam bulan empat, bulan lima Pahang dah settle semua,” katanya. -PAHANGMEDIA

