Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 6 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang sentiasa mengenalpasti inisiatif dan bantuan yang boleh disalurkan dalam usaha menaiktaraf kehidupan rakyat di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, salah satu bantuan iaitu inisiatif Rumah Rakyat Pahang (RRP) merupakan pelaksanaan projek pembangunan kediaman sekaligus kebajikan rakyat yang memerlukan juga terjaga.
“Alhamdulillah, beliau (penerima) berasa begitu teruja dan gembira kerana ini adalah sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang.

“Kita nak meneruskan pembangunan di Pelangai ini, senang bila wakil rakyat daripada Barisan Nasional, kita pun Kerajaan Perpaduan memudahkan saya untuk membantu dan menyalurkan keperluan serta bantuan-bantuan yang lain,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih dan lawatan ke Rumah Rakyat Pahang milik Encik Rosli Johan, 51, di Kampung Semerting, di sini hari ini.
Dalam program tersebut beliau yang juga diiringi oleh pemimpin setempat turut berkesempatan menziarahi beberapa penduduk di Kampung Semerting.
“Di sekeliling ini saya dapati masih ada lagi rumah-rumah yang saya rasa perlu diberi perhatian, Insya-Allah kita akan tengok perkara ini peringkat demi peringkat kerana kita tidak boleh buat sekaligus, keperluan masih banyak untuk kita buat kerja di tempat lain juga,” katanya.
Selain kos pembinaan sebuah rumah RRP sebanyak RM75,000 yang ditanggung sepenuhnya, Kerajaan Negeri Pahang juga menyalurkan bantuan berjumlah RM2,000 bagi membantu penerima membeli keperluan rumah. – PAHANGMEDIA

