Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 FEBRUARI 2026 : Negeri Pahang mencatatkan pencapaian membanggakan apabila merekodkan seramai 15,275,230 pelancong sepanjang tahun 2025 dengan anggaran perbelanjaan mencecah RM13.72 bilion, sekali gus mengatasi sasaran awal 14 juta pelancong yang ditetapkan Kerajaan Negeri tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, peningkatan itu menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 11.21 peratus berbanding tahun 2024 yang merekodkan kehadiran 13.73 juta pelancong.
Katanya, statistik tersebut diperoleh berdasarkan kaedah pengiraan pelancong yang bermalam sekurang-kurangnya 24 jam di negeri ini menerusi data penginapan berdaftar, selaras dengan piawaian industri pelancongan.
“Keputusan ini, saya rasa satu tepukan kepada kita semua sebab keputusan ini jauh lebih daripada sasaran kita. Sasaran kita pada tahun 2025 adalah 14 juta. Tapi kini kita telah mencecah 15 juta, mencecah sasaran kita untuk 2026. Maksudnya, kita perlu ‘adjust’ semula sasaran kita pada tahun ini.
“Jadi, tahniah, syabas, terima kasih kepada semua, semua agensi kerajaan, rakan-rakan media, NGO (badan bukan kerajaan), komuniti yang bersama-sama. Tanpa anda semua, mungkin pencapaian ini tidak dapat dicapai,” katanya pada sidang media perancangan Tourism Pahang 2026 di sini hari ini.
Mengulas persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Leong berkata, Pahang bersedia melangkah ke fasa baharu sebagai rakan utama kempen berkenaan dengan memberi tumpuan kepada empat dimensi utama iaitu peningkatan kualiti produk dan pengalaman pelancong, pemuliharaan destinasi dan biodiversiti, pengukuhan promosi dalam dan luar negara serta pemerkasaan komuniti setempat sebagai rakan kongsi pelancongan.

“Untuk fokus kita pada tahun 2026, iaitu pengindahan destinasi utama sebagai persediaan untuk menerima peningkatan jumlah pelancong, menaik taraf kemudahan dan sokongan pelancongan seperti laluan pejalan kaki, pencahayaan, tandas awam, parking, pusat maklumat pelancong dan pengukuhan promosi antarabangsa.
“Kita akan terus menyertai eksposisi pelancongan yang utama dan penting di luar negara. Dan, kita juga akan meneruskan misi promosi kita di pasaran sasaran kita dan sokongan kepada pengusaha kecil, penggiat budaya, belia setempat, operator pelancongan komuniti,” ujarnya memaklumkan lebih 50 acara pelancongan bertaraf antarabangsa dan kebangsaan akan diadakan pada tahun ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri juga memberi penekanan kepada aspek infrastruktur apabila memperuntukkan RM3 juta bagi projek penyediaan dan naik taraf kemudahan pelancongan di destinasi terpilih di seluruh Pahang.
“Tourism Pahang bersama dengan Kerajaan Negeri, kita akan meneliti dan kita telah menetapkan destinasi pelancongan yang akan terlibat untuk permohonan cadangan pembangunan ini.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Pahang juga akan bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan berdasar tentang infrastruktur,” katanya lagi.
Dalam masa sama, katanya, Tourism Pahang akan terus memperhebat promosi di peringkat antarabangsa termasuk menyertai ekspo pelancongan utama di luar negara serta memperluaskan kempen pemasaran melalui media cetak, elektronik dan platform digital. -PAHANGMEDIA

