Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 09 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan sukan di negeri ini dengan turun padang bertemu atlet bagi meninjau kebajikan serta persiapan latihan mereka.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan kebajikan atlet dengan menggalakkan mereka memberi pandangan bagi penambahbaikan yang diperlukan.

“Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Sukan Pahang cukup mengambil berat soal kebajikan atlet ini. Jadi, saya minta mereka berkongsi pandangan dan idea untuk kita menambah baik apa yang sepatutnya. Kita nak dengar daripada mereka sendiri dan saya nampak respon yang sangat baik daripada atlet-atlet ini dan gerak kerja seperti ini akan diteruskan pada masa yang akan datang.
“Sekolah Sukan Malaysia Gambang ini adalah sekolah kedua yang kita turun dalam tempoh terdekat. Sekolah pertama adalah Sekolah Sukan Seberang Temerloh, sama juga misinya kita bertemu dengan para atlet menunjukkan keperihatinan Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Pahang dengan melihat mereka, tempat latihan, dan sekolah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kunjung Hormat dan Ramah Mesra bersama atlet Pahang di Sekolah Sukan Malaysia Pahang, hari ini.
Tambahnya, Majlis Sukan Pahang perlu memastikan persiapan menghadapi SUKMA di Selangor dilaksanakan secara menyeluruh dan tersusun, selaras dengan penambahbaikan dan inisiatif baharu yang telah diperkenalkan sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, khususnya melibatkan aspek kebajikan atlet dan jurulatih.
“… dan saya minta Majlis Sukan Pahang melakukan persiapan yang rapi untuk Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor nanti sebab dalam tempoh tiga tahun ini banyak yang telah dilakukan dan inisiatif-inisiatif baru termasuk dari sudut kebajikan. Jadi kita nak tengok keputusannya di SUKMA.

“Kita harap inisiatif-inisiatif yang kita lakukan ini dapat memberi kesan. Pertama, pendekatan kita menambah baik kebajikan jurulatih dan atlet. Kita dah lakukan termasuk segi allowance dan penyelesaian gaji jurulatih.
“Melalui persiapan rapi ini, kita yakin kita boleh memberi cabaran yang lebih kuat untuk SUKMA Selangor nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru para atlet untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa nama Pahang dan Malaysia di peringkat lebih tinggi.
“Jadi saya minta atlet berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa nama Pahang dan Malaysia ke persada yang lebih tinggi di peringkat antarabangsa dan titik mulanya di SUKMA Selangor,” katanya. -PAHANGMEDIA

