BENTONG, 6 OKTOBER 2023 : Kementerian Kewangan meminta Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk mengkaji dan membuat keputusan segera berhubung kebolehlaksanaan pembukaan sebuah bank mini di kawasan Pelangai.
Timbalan Menteri Kewangan 1, YB Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau telah menyampaikan hasrat penduduk Pelangai untuk mempunyai sebuah bank dan hasrat itu telah disampaikan kepada CEO Bank, Jay Khairil Jeremy.
“Saya telah sampaikan hasrat penduduk Pelangai untuk ada sebuah bank dan hasrat itu disampaikan kepada CEO Bank, Jay Khairil Jeremy.
“Beliau (Jay) telah berjanji untuk menghantar pasukan segera bagi mengkaji kebolehlaksanaan cawangan BSN di sini,” kata seperti dilaporkan Sinar Harian selepas ditemui di Kampung Lembah Jaya di sini hari ini.
Beliau juga memberitahu telah meminta calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Amizar Abu Adam supaya membuat susulan selepas 7 Oktober ini untuk memastikan kemudahan tersebut dapat dilaksanakan.
“Setakat ini sudah ada ejen-ejen bank di Pelangai, namun transaksinya terhad jadi saya meminta kajian itu disegerakan, tak payah lama-lama.
“Di sini ada tiga kawasan rancangan Felda dan mereka mempunyai keupayaan untuk menyimpan, mereka ada keupayaan untuk meminjam, begitu juga dalam kalangan guru sekolah, juga perkhidmatan lain polis, klinik termasuk peniaga kecil,” katanya. – PAHANGMEDIA

