Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2023 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah membelanjakan sejumlah RM23 juta bagi tempoh 2019 hingga 2023 bagi tujuan membaik pulih dan menyelenggara gerai-gerai yang berada di bawah kendalian MBK.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, perbelanjaan tersebut membabitkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan peruntukan dalaman MBK sendiri.
“Kerajaan Negeri juga melalui PBT-PBT sentiasa mengenalpasti premis-premis dan gerai yang perlu dibaikpulih dan pada masa yang sama juga memohon peruntukan daripada sumber-sumber daripada Kerajaan Persekutuan atau menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri, bagi baikpulih yang melibatkan pembaikan kecil kebanyakannya dilaksanakan menggunakan peruntukan dalaman PBT sendiri.
“Kita juga turut menggalakkan kepada penyewa gerai PBT untuk terlibat sama dalam aktiviti pengindahan premis melalui penyertaan dalam kempen dan pertandingan yang berkaitan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak seperti Kempen Premis Makanan Bersih anjuran KPKT,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, YB. Tuan Mohd Yazid Ahmad pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau yang memangku portfolio Kerajaan Tempatan yang pernah digalas oleh Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun berkata, MBK sentiasa merancang dan melaksanakan tindakan menaiktaraf gerai-gerai di bawah pentadbiran Majlis yang telah uzur secara berperingkat untuk memberi keselesaan kepada peniaga serta pelanggan. – PAHANGMEDIA

