Oleh : Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang menerusi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sentiasa bersungguh dalam memperkasakan Al-Quran dan pusat pengajian tahfiz di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, dalam usaha memperkasa dan menghapuskan buta Al-Quran, setiap masjid dengan kerjasama MUIP telah melaksanakan Program Briged Al-Quran.
Selain itu, MUIP turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Persatuan Ikatan Madrasah Pahang bagi memperkasa 190 pusat tahfiz di Pahang termasuklah maahad tahfiz, madrasah dan pondok.
“Dari aspek pendidikan program pemantapan ilmu kepada guru dan pelajar telah diadakan program Daurah Hadis antaranya bersempena kehadiran ulama-ulama terkemuka dan penglibatan guru-guru tahfiz bagi program anjuran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15.
Dalam pada itu, beliau berkata, program pemantapan imam bagi pelajar maahad tahfiz, madrasah dan pondok juga telah diadakan sempena bulan Ramadan yang lalu khas kepada pelajar yang menjadi imam jemputan di surau atau masjid.
Selain daripada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah meluluskan dana berjumlah RM4.2 juta bagi kerja-kerja selenggara dan naik taraf maahad tahfiz, madrasah dan pondok selain daripada skim bantuan yang disalurkan oleh pihak MUIP. – PAHANGMEDIA

