Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang menyediakan pelan alternatif bagi membina lapangan terbang di Pulau Tioman bagi memastikan kelestarian alam sekitar serta keselesaan penduduk setempat di pulau pelancongan itu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelan asal cadangan Projek Lapangan Terbang Pulau Tioman telah mendapat bantahan daripada ramai penduduk tempatan kerana dibimbangi merosakkan alam sekitar dan terpaksa membuat penambakkan.
Justeru, di atas keprihatinan Kerajaan Pahang terhadap bantahan penduduk di pulau berkenaan, kerajaan telah mencadangkan pelan alternatif dengan menambah laluan sepanjang 500 meter daripada laluan sedia ada sepanjang 850 meter.
“Kita mendapat bantahan yang banyak daripada ramai penduduk di Tioman tidak bersetuju dengan pembinaan lapangan terbang ini setelah kita buat kajian kerana ianya boleh merosakkan alam sekitar dan terpaksa membuat penambakan.
“Jadi sebagai alternatif kerajaan negeri telah bercadang dan bersetuju untuk menambahkan laluan yang sedia ada sepanjang 500 meter, lebih kurang 500 meter dan kita pun telah kenalpasti tanah-tanah yang perlu kita acquire dan mendapat kebenaran daripada tuan punya tanah, itu adalah alternatif sekiranya cadangan yang asal tidak dapat dilaksanakan.
“Sebab kita sebagai kerajaan kita sangat prihatin dengan kehendak rakyat setempat dan kalau sekiranya ianya menimbulkan masalah, dan boleh merugikan kerajaan, kita tidak akan laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini. – PAHANGMEDIA

