Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi
KUANTAN, 09 MEI 2024 : Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang telah menyumbang kepada pendapatan Kerajaan Negeri sebanyak RM534.2 juta melalui empat Memorandum Persefahaman (MoU).
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata dalam empat MoU ini berjaya direalisasikan dalam tempoh 10 tahun bermula 2013 sehingga 2023.
“Dalam tempoh 10 tahun dari 2013 hingga 2023, PSK telah menandatangani sebanyak 235 Perjanjian Jual Beli/Pajakan dan 22 Memorandum Persefahaman (MoU) merangkumi projek Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Dalam Negeri (DDI),” katanya.
Menurut beliau, antar faktor pelabur berminat untuk melabur di negeri ini adalah disebabkan beberapa faktor antaranya keluasan tanah yang ada di Pahang.
“Antara kelebihan Negeri Pahang ialah kita masih mempunyai tanah yang banyak dan kita ada Kluster Taman Industri yang yang maju seperti YAB Menteri Besar sebut, di Gebeng di Pekan, kita ada ekosistem untuk automotif, kilang-kilang kertas besar yang bertapak di Bentong.
“Advantage dia nilai tanah dan ke hadapan kita ada satu perancangan yang besar di mana kita ada perancangan untuk membina ECRL, ada perancangan untuk membina lapangan terbang baru.
“Dan juga Central Spine Road dan Kuantan Port juga bakal dibesarkan di masa-masa akan datang dan semua ni adalah struktur berpadu yang boleh membantu memacu pelaburan ke dalam Negeri Pahang di masa-masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Tuan Chan Chung Kuang ketika sesi pertanyaan kepada Menteri Besar pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. – PAHANGMEDIA