Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Norhilmi
KUANTAN, 9 MEI 2024 : Kerajaan Pahang kini dalam fasa untuk melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Majlis Pekerja Negeri Pahang 2024-2029 bagi mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang berkata, terdapat pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan menerusi dasar dan pelan berkenaan dalam mencapai usaha pengurangan pengangguran di Pahang.
“Sehingga Mac 2024, sebanyak 31,129 pencari kerja berbanding 2,018 peluang pekerjaan aktif telah direkodkan. Berdasarkan jumlah ini, sebanyak lebih kurang 29,000 peluang pekerjaan aktif perlu disediakan oleh pihak Kerajaan Negeri Pahang melalui PERKESO dan agensi Kerajaan Negeri sekiranya hendak memberi peluang kepada semua pencari kerja terlibat untuk bekerja di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaanya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, YB. Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Jelasnya, Kerajaan Negeri Pahang melalui PERKESO di dalam Bajet Belanjawan Negeri Pahang telah menyediakan sebanyak 11 program karnival berskala sederhana dan satu program karnival negeri yang akan membantu menyediakan sebanyaik 3,700 unjuran peluang pekerjaan baru di negeri ini selain lebih 118,000 peluang pekerjaan aktif semasa di seluruh Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi tempoh 2022-2023, Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) mempunyai beberapa projek yang dapat membuka peluang pekerjaan di Pahang menerusi Pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka memberi peluang pekerjaan kepada 50,000 orang. – PAHANGMEDIA