Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 25 SEPTEMBER 2025 : Penglibatan belia dalam sektor pertanian membantu agenda keselamatan makanan negeri serta menyokong usaha Kerajaan Negeri memperkasa sektor agro.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, perkembangan ini memberi gambaran positif bahawa sektor pertanian mampu menarik minat generasi baharu.
“Aktiviti pertanian di sini begitu memberangsangkan. Penglibatan daripada petani-petani terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan saya amat terharu dan teruja kerana di sini kita lihat penglibatan pemuda begitu ramai, menunjukkan minat untuk terus melibatkan diri dalam projek-projek pertanian.
“Encik Muhammad Qayyum (Pengusaha Tanaman Fertigasi Sayuran), mengusahakan projek fertigasi yang terdiri daripada tanaman bayam, maman, sawi bunga, dan lain-lain, kesungguhan beliau untuk mengembangkan lagi projek ini adalah satu perkara yang cukup membanggakan.
“InsyaAllah Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan sokongan dan bantuan di mana perlu melalui Jabatan Pertanian Negeri Pahang dan saya harap saudara Qayyum akan menjadi ikon atau model kepada usaha muda yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan penglibatan belia dalam agro akan memperkukuh agenda keselamatan makanan negeri dan negara, malah usaha yang bermula secara kecil berpotensi berkembang hingga mampu menembusi pasaran tempatan serta antarabangsa.
“Dengan penglibatan daripada usaha muda, saya rasa agenda keterjaminan makanan akan berada di landasan yang tepat dan insyaAllah setiap sesuatu bermula dengan projek yang berskala kecil, terus dikembangkan dari semasa ke semasa dan akhirnya ia akan menjadi satu usaha yang mampu bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga berhasil memasuki pasaraya premium,” katanya. -PAHANGMEDIA