Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 25 SEPTEMBER 2025 : “Terima kasih banyak Kerajaan Negeri bantu saya tengok (melihat) semula,” ujar Encik Mong Kam Wing yang merupakan salah seorang penerima subsidi pembedahan katarak warga emas Negeri Pahang.
Encik Mong Kam Wing, 71, dari Sungai Dua, Karak berkata program ini sangat membantu meringankan beban kewangannya bagi menjalani pembedahan berkenaan.
“Terima kasih Kerajaan Negeri bantu saya banyak. Dapat bantu saya jimatkan wang juga. Terima kasih banyak-banyak Kerajaan Negeri.
“Saya tahu program ini dari kawan-kawan di kampung, mereka beritahu untuk saya join sekali dan bila ke hospital, mereka (perawat) juga ada beritahu saya pasal program ini,” katanya.
Sementara itu, menurut Encik Yahaya Hashim, 61, dari Taman Saga Bentong yang merupakan penerima subsidi ke-655, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang di atas program yang membantu warga emas.
“Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Pahang. Mana nak dapat buat (pembedahan katarak) ini percuma macam ini.
“Sebelum ini saya buat pembedahan mata kiri dibawah bantuan B40, bayar RM300. Bila nak buat mata kanan, pihak hospital maklum ada program ini, dan percuma. Tak sangka sangat. Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM1 juta kepada warga emas melalui Program Subsidi Pembedahan Katarak Warga Emas Negeri Pahang 2025 yang memberi manfaat kepada 655 penerima di empat buah hospital kerajaan.
Empat hospital kerajaan yang menawarkan perkhidmatan berkenaan ialah Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; Hospital Kuala Lipis, Lipis; dan Hospital Rompin, Rompin. -PAHANGMEDIA