BESUT, 25 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan Latihan Penerjunan Bebas pada ketinggian 10,000 kaki, di sini hari ini.
Lebih bermakna, terjunan yang memperlihatkan keberanian serta semangat tinggi Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku disaksikan sendiri oleh paduka ayahanda, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Kejayaan tersebut dicatat menerusi Selective Training Record (STR) Latihan Kursus Pasukan Khas Udara (PASKAU) di Pangkalan Udara Gong Kedak.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku melakukan dua kali terjunan iaitu pada pukul 1.45 petang dan 4 petang.
Paduka Baginda dilihat cukup berbangga dengan pencapaian tersebut yang bukan sahaja mencabar diri tetapi memerlukan disiplin, kawalan mental, dan ketahanan fizikal.
Sekali gus memberi inspirasi kepada generasi muda agar berani mencuba perkara baharu serta menanam nilai keberanian dan ketabahan.-PAHANGMEDIA