Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Pahang merekodkan pelaburan berjumlah RM13.82 bilion setakat ini, bersamaan 85.32 peratus daripada sasaran RM16.2 bilion yang ditetapkan bagi tahun 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, baki RM2.38 bilion kini menjadi tumpuan usaha promosi dan rundingan bagi memastikan sasaran pelaburan berkenaan dicapai.
Menurutnya, pencapaian itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Invest Pahang, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri serta agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
“Antara projek pelaburan komited berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di Pahang hasil daripada gerak kerja bersepadu ini ialah Projek Rare Earth Oxides di Gebeng dengan nilai pelaburan RM465.12 juta dan 287 peluang pekerjaan; projek Rare Earth Permanent Magnet di Gebeng. Projek ini akan membekalkan komponen kepada industri kenderaan elektrik (EV). Pelaburannya bernilai RM500 juta dengan 270 peluang pekerjaan.
“Projek solar terapung di Empangan Chereh, Kuantan. Projek berkapasiti 200 megawatt ini antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mampu membekalkan elektrik kepada 100,000 buah rumah dengan nilai pelaburan RM850 juta. Projek ini dijangka mewujudkan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembinaan sehingga 2028; projek pembuatan racun perosak di Jerantut dengan nilai pelaburan RM249.17 juta dan 27 peluang pekerjaan.
“Projek High Frequency Litz Wire di Bentong dengan nilai pelaburan RM45 juta serta 100 peluang pekerjaan; dan projek produk kayu di Temerloh dengan nilai pelaburan RM38.03 juta dan 56 peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, kesemua projek berkenaan membuktikan keyakinan tinggi pelabur terhadap Pahang, selain mengukuhkan kedudukan negeri ini dalam rantaian nilai industri nadir bumi dan tenaga boleh baharu.
“Limpahan ekonominya turut dinikmati di luar Kuantan, termasuk di Jerantut, Bentong dan Temerloh. Kerajaan Negeri, melalui Invest Pahang, akan terus memperkukuh fasilitasi kepada pelabur bagi memastikan setiap pelaburan dapat direalisasikan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat Pahang,” katanya.
Tambah beliau, Pahang turut berjaya memeterai 12 perjanjian komitmen pelaburan dan kerjasama strategik bernilai RM421 juta menerusi Selangor International Business Summit (SIBS) 2026.
Program Pahang EDGE di Singapura pula berjaya menarik penyertaan 49 syarikat, dengan 34 daripadanya menyatakan minat untuk meneroka peluang perniagaan di Pahang.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memperkukuh ekosistem syarikat pemula menerusi Pahang Startup Roadmap 2030 (PSR2030), termasuk pelaksanaan program Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA) Cohort 6 yang menerima 273 permohonan sebelum 21 syarikat berpotensi dipilih.
Dalam sektor logistik pula, beliau berkata, pengoperasian semula perkhidmatan kapal Roll-on/Roll-off (RORO) yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Sarawak dan Kota Kinabalu berjaya memendekkan tempoh penghantaran kepada kira-kira 43 jam.
Sejak mula beroperasi semula pada 19 Oktober lalu, perkhidmatan berkenaan berjaya mengendalikan 1,134 kenderaan menerusi empat pelayaran sehingga November.
“Perkhidmatan ini dijangka meningkat kepada lima pelayaran sebulan dengan kapasiti sekitar 2,750 buah kenderaan sebulan. Pada masa yang sama, kerjasama strategik dengan Beibu Gulf Port Group turut membuka peluang perdagangan melalui laluan Kuantan–Qinzhou–Chongqing, sekali gus memperluas akses pasaran ke bahagian barat daya China.
“Perkembangan ini mencerminkan potensi Pelabuhan Kuantan sebagai hab logistik strategik yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta pasaran antarabangsa, sekali gus merancakkan aktiviti perdagangan dan ekonomi negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini. -PAHANGMEDIA

