Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2026 : Liputan 4G di kawasan berpenduduk di Pahang meningkat kepada 99.89 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding 89.10 peratus pada tempoh sama tahun 2020, hasil pelaksanaan Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, pencapaian itu perlu disusuli dengan usaha meningkatkan kualiti dan kestabilan perkhidmatan telekomunikasi, khususnya di kawasan luar bandar.
“Pelaksanaan Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah berjaya meningkatkan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Negeri Pahang daripada 89.10% pada suku ketiga tahun 2020 kepada 99.89% pada suku ketiga tahun 2026.
“Walau bagaimanapun, saya telah meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyegerakan penyediaan perkhidmatan kelima-lima syarikat penyedia perkhidmatan telco iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile dan Yes 5G di setiap menara telekomunikasi di seluruh Negeri Pahang.
“Langkah ini penting supaya rakyat bukan sahaja mempunyai liputan, tetapi turut menikmati pilihan perkhidmatan telekomunikasi yang lebih luas dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB Dato’ Rodzuan Zaaba pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, bagi memperkukuh liputan telekomunikasi di kawasan luar bandar, MCMC telah membina sebanyak 101 menara komunikasi baharu melibatkan 35 menara di kawasan penempatan FELDA dan 66 menara di perkampungan Orang Asli di seluruh Pahang.
Katanya, MCMC bersama syarikat telekomunikasi turut melaksanakan pelbagai langkah mitigasi termasuk pemantauan rangkaian secara berterusan, penyelenggaraan berkala, pengukuhan rangkaian sokongan, peningkatan kapasiti serta ujian kualiti perkhidmatan di lokasi yang menerima aduan.
“Kerajaan Negeri juga telah mengadakan sesi libat urus bersama Pejabat ADUN, Pengarah dan Pengurusan FELDA serta komuniti setempat dari bulan Februari sehingga awal November baru-baru ini.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan MCMC bagi mengenal pasti kawasan yang masih memerlukan penambahbaikan liputan, khususnya di penempatan FELDA dan Kampung Orang Asli, supaya rakyat dapat menikmati perkhidmatan telekomunikasi yang lebih stabil,” katanya. – PAHANGMEDIA

