Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan penglibatan pelabur swasta bagi menyediakan kemudahan kebuk hiperbarik (hyperbaric chamber) di Pulau Tioman bagi memperkukuh aspek keselamatan dan kesiapsiagaan kecemasan, khususnya melibatkan aktiviti selam skuba.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, setakat ini sebuah syarikat perubatan swasta tempatan telah menunjukkan minat untuk menyediakan kemudahan berkenaan di Kampung Tekek.
Katanya, syarikat terbabit kini dalam proses memenuhi spesifikasi yang ditetapkan bagi mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Jadi dengan ini Kerajaan Negeri mengalu-alukan penglibatan pelabur swasta untuk membuka pusat ‘hyperbaric’ di Pulau Tioman. Buat masa ini ada satu syarikat perubatan swasta tempatan yang berminat untuk membuka di Kampung Tekek.
“Dan sekarang masih dalam proses untuk memenuhi penetapan spesifikasi bagi mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB Dato’ Sri Dr Haji Mohd Johari Hussain pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sebelum ini telah mengemukakan permohonan penyediaan kemudahan berkenaan menerusi Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi memperkukuh keselamatan dan kelestarian industri pelancongan marin di Pulau Tioman.
Katanya, permohonan tersebut dikemukakan melalui Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), selain disenaraikan sebagai antara keutamaan tertinggi negeri.
Bagaimanapun, permohonan berkenaan tidak mendapat kelulusan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berikutan kemudahan itu dilihat lebih bersifat komersial, dengan cadangan supaya mendapatkan pelaburan luar.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kebuk hiperbarik merupakan kemudahan rawatan kesihatan menggunakan ruang tertutup khas dengan tekanan udara yang lebih tinggi.
“Ini adalah satu peralatan dengan ruang tertutup khas yang direka untuk menempatkan seseorang individu dalam persekitaran tekanan udara yang lebih tinggi.
“Peralatan ini digunakan untuk rawatan pesakit yang mengalami permasalahan kesihatan akibat perubahan tekanan termasuk kecederaan berkaitan aktiviti penyelaman,” katanya lagi. – PAHANGMEDIA

