Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2026 : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang memperkukuh usaha menangani kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak menerusi pelantikan 37 Pelindung Kanak-Kanak secara kontrak, menjadikan jumlah keseluruhan petugas berkenaan seramai 52 orang di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan keupayaan pengesanan awal, siasatan serta tindakan perlindungan terhadap kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan dan pengabaian.
“Pelbagai langkah pencegahan, intervensi, perlindungan dan pemulihan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan sewajarnya daripada sebarang bentuk penderaan, pengabaian, eksploitasi dan keganasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB Tuan V. Arumugam A/L A. Veerappa Pillai yang diwakili ADUN Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, JKM mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001, termasuk menjalankan penilaian risiko dan siasatan sosial sebelum menempatkan mangsa di lokasi selamat seperti institusi kebajikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau di bawah jagaan individu yang layak dan sesuai berdasarkan keputusan mahkamah.
Selain itu, JKM turut menyediakan sokongan psikososial dan pemulihan kepada kanak-kanak serta keluarga, di samping melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kanak-kanak yang dikembalikan kepada keluarga bagi mengelakkan kes penderaan dan pengabaian berulang.
Usaha pencegahan di peringkat komuniti turut diperkukuh menerusi penggerakan 11 pasukan perlindungan kanak-kanak dan pusat aktiviti kanak-kanak yang meliputi kesemua 11 daerah di Pahang.
Program advokasi turut dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta badan bukan kerajaan.
Berdasarkan rekod JKM Pahang, sebanyak 622 kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan direkodkan sepanjang 2025, manakala 495 kes direkodkan sehingga 18 November 2026.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan ADUN Cheka berhubung penderaan terhadap golongan dewasa, beliau berkata, JKM akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya menerima laporan berkaitan kes berkenaan. – PAHANGMEDIA

