Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mengutamakan pembangunan pusat data (data centre) yang menggunakan teknologi cekap tenaga dan air bagi memastikan kemudahan berkenaan tidak menjejaskan bekalan asas kepada penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, kecukupan bekalan elektrik, air serta kemudahan gentian optik merupakan antara kriteria utama yang dititikberatkan sebelum sesuatu projek pusat data dipertimbangkan untuk kelulusan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut mengutamakan pusat data yang mempunyai kadar keberkesanan penggunaan tenaga (Power Usage Effectiveness – PUE) rendah bagi memastikan penggunaan tenaga elektrik lebih cekap.
“Buat masa ni kita perlu pantau jumlah kegunaan air dan elektrik yang digunakan walau bagaimanapun kita utamakan data center yang tidak menggunakan air dan elektrik yang terlalu banyak dan juga berdasarkan kadar ‘power usage effectiveness’ yang rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Dato’ Haji Andansura Rabu pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Mengulas langkah menangani kekangan sumber air, beliau berkata, penggunaan air industri yang dikitar semula dilihat sebagai antara alternatif pada masa hadapan, selain penggunaan teknologi penyejukan yang lebih cekap.
“Ke hadapan mungkin kita boleh guna air industri yang dikitar semula. Dan ke hadapan saya difahamkan dalam makmal-makmal di US (Amerika Syarikat) ada perancangan untuk membuat ‘cooling technology’ yang lebih efisien, yang tidak mengeluarkan begitu banyak air,” katanya lagi.
Menjawab soalan ADUN Lantikan, YB Tuan Rizal Jamin berhubung kemungkinan berlaku pencemaran bunyi dan gangguan bekalan kepada penduduk, beliau berkata, Kerajaan Negeri menetapkan pembangunan pusat data perlu ditempatkan di zon perindustrian dan bukannya kawasan perumahan.
“Bagi perspektif Kerajaan Negeri, mana-mana ‘data center’ yang akan dibangunkan perlu berada di zon industri. Dalam erti kata, kita tidak akan meluluskan atau membenarkan sebarang ‘data center’ sebagai contoh berada di tengah-tengah perumahan kerana ini akan mengundang bantahan dan juga komplain daripada penduduk setempat,” ujarnya.
Sementara itu, berdasarkan rekod Unit Pelaburan dan Penswastaan, Pahang setakat ini mempunyai satu projek pusat data yang mencapai status pelaburan komited, iaitu projek oleh Fire Phoenix The International (M) Berhad dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Pahang Technology Park, Gambang, melibatkan kawasan seluas kira-kira lapan ekar.
Projek bernilai kira-kira AS$100 juta (RM411 juta) itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan kapasiti maksimum bekalan elektrik sebanyak 180 megawatt dan dijangka menyediakan 42 peluang pekerjaan, dengan sasaran pengambilan pekerja tempatan mencapai 80 peratus menjelang 2029.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 117 projek pusat data telah diluluskan di seluruh negara, dengan 25 daripadanya telah beroperasi setakat November 2026. – PAHANGMEDIA

