Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2026 : FELDA menyasarkan peningkatan kadar perahan minyak (OER) kepada 25 peratus menerusi penggunaan benih kelapa sawit baka premium dalam projek tanam semula bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan peneroka.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, pemilihan benih dilaksanakan secara teliti menerusi FELDA Plantation Management Sdn. Bhd. (FPMSB), anak syarikat yang dilantik oleh FELDA.
Katanya, antara baka yang digunakan ialah Yangambi 3-Way dan Yangambi ML161 yang mempunyai prestasi tinggi serta berpotensi meningkatkan kadar perahan minyak daripada 20 peratus kepada 25 peratus.
“Benih premium ini mampu memaksimumkan kepadatan pokok sehingga 140 pokok sehektar serta memberikan potensi hasil sehingga lapan tan sebulan bagi setiap peneroka pada tahun pertama keberhasilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, benih yang telah dicambahkan akan diuruskan di tapak semaian rasmi FELDA sebelum melalui pemeriksaan fizikal dan proses penggredan bagi memastikan hanya anak pokok berkualiti dibekalkan kepada peneroka.
“Anak benih yang tidak normal seperti daun berpusing, kekuningan atau mempunyai struktur batang dan pelepah tidak sihat tidak akan dihantar kepada peneroka,” katanya.
Tambah beliau, proses pembekalan, penghantaran dan penyimpanan anak benih turut tertakluk kepada kawalan kualiti yang dipantau bersama oleh FELDA, FPMSB, Jawatankuasa Tanam Semula di rancangan serta badan audit berkaitan.
Selain itu, pengusaha tapak semaian diwajibkan memiliki pensijilan Code of Good Nursery Practice for Oil Palm Nurseries (COPN) seperti yang ditetapkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). – PAHANGMEDIA

