Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang merekodkan perbelanjaan dan tanggungan sebanyak RM393.49 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri setakat 31 Oktober lalu, daripada keseluruhan peruntukan RM429.65 juta bagi tahun 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, jumlah berkenaan bersamaan 91.58 peratus daripada keseluruhan peruntukan yang disediakan.
“Bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sejumlah RM429,655,275.45 bagi tujuan penyelenggaraan jalan negeri.
“Daripada jumlah peruntukan tersebut, sehingga 31 Oktober 2026 sebanyak RM393,497,223.90 telah dibelanjakan dan diambil kira sebagai tanggungan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri iaitu bersamaan dengan 91.58 peratus daripada keseluruhan peruntukan yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, YB Tuan Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, sepanjang 2,291.072 kilometer jalan telah diselenggara menerusi konsesi jalan negeri, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang menerima peruntukan sebanyak RM40,504,400.
“Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang telah menerima peruntukan di bawah MARRIS bagi tahun 2026 melalui dua kaedah pelaksanaan iaitu kerja-kerja yang dilaksanakan secara jabatan dan melalui pihak konsesi. Panjang jalan diselenggara di bawah JPS adalah sepanjang 175.20 kilometer.
“Jumlah keseluruhan agihan Peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (PJN) kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang pada tahun 2026 adalah berjumlah RM158,184,324.52.
“Bagi panjang jalan yang diselenggara oleh Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pahang adalah sepanjang 203.457 kilometer,” katanya. – PAHANGMEDIA

