Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyediakan subsidi bernilai kira-kira RM2.76 bilion menerusi pelbagai skim perumahan negeri bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri pada harga berpatutan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sehingga kini sebanyak 29,921 unit kediaman berjaya disiapkan menerusi pelbagai Skim Perumahan Negeri dengan nilai jualan berjumlah RM2.28 bilion.
Menurut beliau, jumlah berkenaan jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa yang dianggarkan sebanyak RM5.04 bilion, dengan perbezaan RM2.76 bilion mencerminkan nilai subsidi Kerajaan Negeri kepada rakyat.
“Kerajaan Negeri telah berjaya menyiapkan sebanyak 29,921 unit kediaman menerusi pelbagai Skim Perumahan Negeri dengan nilai jualan berjumlah RM2.28 bilion, berbanding nilai pasaran semasa yang dianggarkan sebanyak RM5.04 bilion.
“Perbezaan nilai sebanyak RM2.76 bilion ini mencerminkan nilai subsidi Kerajaan Negeri dalam membantu lebih ramai rakyat Pahang memiliki kediaman pada harga yang berpatutan.
“Antara skim yang disediakan ialah PR1MA Pahang, Rumah Makmur, Rumah Pahangku, Program Residensi Rakyat (PRR), Pangsapuri Pahangku, Rumah Penjawat Awam Pahang (RPAP) dan Rumah Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Yang Dilantik, YB Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut menyediakan Skim Tanah Warisan (STW) berkonsepkan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) yang diubah suai bagi memberi peluang kepada rakyat memiliki lot tanah lengkap dengan kemudahan infrastruktur.
“Bagi pemohon yang mempunyai tanah sendiri atau mendapat kebenaran menggunakan tanah milik ahli keluarga pula, Kerajaan Negeri menyediakan Skim Rumah Mesra Pahang (RMP), dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) bertindak sebagai agensi pelaksana pembinaan rumah.
“Cadangan pelaksanaan RMP bagi tempoh 2023 hingga 2027 melibatkan 500 unit rumah dengan cadangan peruntukan subsidi RM7.5 juta, iaitu subsidi 20 peratus bersamaan RM15,000 bagi setiap unit rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut memperkukuh sistem ePerumahan Negeri Pahang sebagai platform utama pengurusan permohonan Skim Perumahan Negeri secara dalam talian bagi memudahkan rakyat membuat permohonan dengan lebih cepat dan telus.
“Pendigitalan ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah membantu memperkemaskan pengurusan data permohonan serta memastikan proses pemilihan dilaksanakan secara lebih sistematik dan berintegriti,” katanya.
Menurut beliau, antara syarat utama permohonan Skim Perumahan Negeri ialah pemohon merupakan warganegara Malaysia dengan keutamaan diberikan kepada rakyat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, menetap di Pahang sekurang-kurangnya lima tahun secara berterusan serta mempunyai pendapatan isi rumah antara RM3,000 hingga RM10,000 sebulan, bergantung kepada skim yang dipohon.
Pemohon juga hendaklah telah berkahwin dan berumur 18 tahun atau belum berkahwin serta berumur melebihi 35 tahun, selain pemohon dan pasangan tidak memiliki tanah berstatus bangunan atau rumah yang didaftarkan atas nama masing-masing. – PAHANGMEDIA

