Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM6 juta kepada Institut Darul Makmur (IDM) dalam tempoh tiga tahun bagi memperkukuh kefahaman dan pegangan akidah Ahli Sunnah Waljamaah dalam kalangan umat Islam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, peruntukan RM2 juta setahun itu digunakan bagi melaksanakan pelbagai program penerangan dan pendidikan berkaitan akidah, syariah serta tasawuf.
Katanya, usaha memperkukuh pegangan akidah umat Islam turut dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Mufti Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta agensi penguat kuasa agama.
“Daripada sinilah telah tercetusnya dasar-dasar dan juga enakmen-enakmen yang kita bentangkan di dalam Dewan Negeri bagi memperkasakan agama Islam khususnya berkaitan dengan soal akidah Ahli Sunnah Waljamaah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, YB Tuan Haji Zuridan Mohd Daud pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, usaha berkenaan turut diperkukuh menerusi penguatkuasaan Enakmen Jenayah Syariah, enakmen berkaitan tarekat serta pewartaan akidah Ahli Sunnah Waljamaah yang berteraskan al-Asyairah dan Maturidiah.
Selain itu, sebanyak RM130,000 turut diperuntukkan bagi penganjuran program Ijtima’ al-Ulama, Silsilatu Az-Zahabiyah dan Hadis as-Sulasiah bagi memperkukuh pengajian hadis serta menyatukan masyarakat Islam berlandaskan sunnah Rasulullah SAW.
Tambah beliau, usaha berterusan menerusi pendidikan agama, pemantauan dan penguatkuasaan penting bagi memastikan umat Islam memahami pegangan akidah yang tepat serta tidak terpengaruh dengan ajaran yang bercanggah dengan Islam. – PAHANGMEDIA

