Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2026 : Cadangan pembangunan Bandar Maritim Rompin memerlukan penelitian dan kajian lanjut oleh Kerajaan Negeri Pahang sebelum sebarang keputusan mengenai pelaksanaannya dibuat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, perancangan pembangunan kawasan berkenaan telah digariskan menerusi Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Rompin 2035 dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Teluk Gading.
“RTD Rompin 2035 telah diwartakan pada 1 Februari 2025 dan boleh dijadikan panduan kepada agensi berkaitan untuk melaksanakan pembangunan mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB Dato’ Sri Dr Haji Mohd Johari Hussain pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, menerusi perancangan tersebut, Teluk Gading dikenal pasti sebagai pusat penempatan utama daerah dengan cadangan pembangunan Zon Maritim dan Perikanan Laut Dalam yang memberi tumpuan kepada industri berasaskan perikanan dan hasil laut.
Antara komponen pembangunan yang dicadangkan termasuk pusat pengumpulan hasil laut, terminal feri dan bot, kemudahan penyimpanan sejuk, perkhidmatan industri serta industri pembinaan dan pembaikan kapal.
Selain itu, RKK Teluk Gading turut mengenal pasti potensi pembangunan industri marin, aktiviti perikanan serta bengkel membaiki bot dan industri perkapalan di kawasan pesisiran sungai.
Mengulas cadangan mengadakan lawatan bersepadu ke kawasan berkenaan, beliau berkata, lawatan tersebut boleh diadakan, namun pelaksanaan pembangunan perlu berpandukan perancangan yang telah disediakan.
“Lawatan kita boleh adakan tetapi perincian dalam pembangunan RKK itu telah kita nyatakan. Cuma terletak kepada pihak yang berkaitan untuk melajukan terus kawasan terbabit,” katanya ketika menjawab soalan tambahan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kajian khusus mengenai cadangan penubuhan Bandar Maritim Rompin masih belum dilaksanakan dan perkara tersebut perlu diteliti terlebih dahulu oleh Kerajaan Negeri.
Beliau turut memaklumkan kemungkinan penubuhan sebuah agensi khusus bagi melaksanakan pembangunan berkenaan selepas pilihan raya akan datang. – PAHANGMEDIA

