Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2026 : Rakyat Pahang berpeluang menyambung sanad ilmu hadis hingga kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW menerusi majlis ilmu bersama tokoh-tokoh ulama hadis antarabangsa yang dibawa khas oleh Kerajaan Negeri Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penganjuran majlis berkenaan merupakan peluang istimewa buat rakyat negeri ini untuk menimba ilmu secara langsung daripada tokoh-tokoh ulama hadis terkemuka dari Mesir, Bahrain dan Yaman.
Menurut beliau, antara tokoh yang hadir ialah Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Sheikh Usamah Sayyid Mahmud Muhammad al-Azhari; Penasihat Utama kepada Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr. Ahmad Mamduh Saad al-Azhari; pakar hadis dari Bahrain, Sheikh Dr. Naji Rashid Hassan al-Arabi serta pakar hadis dari Yaman, Al-Musnid Dr. Yasir al-Adeni asy-Syahiri.

“Kerajaan Negeri mengambil kesempatan menganjurkan satu majlis besar-besaran yang akan berlangsung esok, 25 November di Masjid Sultan Ahmad 1, Masjid Negeri Pahang, bermula daripada solat Zohor.
“Program ini akan disusuli dengan pembacaan dua jenis hadis iaitu Hadis Silsilah Az-Zahabiyah atau ‘Untayan Emas’ yang mempunyai rangkaian perawi kukuh daripada seorang tokoh kepada tokoh yang lain sehingga kepada Rasulullah SAW.
“Selain itu, turut dibacakan hadis Sulasiyyat, iaitu hadis yang mempunyai tiga perawi antara sanadnya sehingga kepada Imam al-Bukhari, termasuk 22 hadis serta beberapa hadis daripada Ibn Majah dan al-Tirmizi,” katanya ketika ditemui di Zenith Hotel Kuantan, di sini, hari ini.

Beliau turut menyeru umat Islam, khususnya rakyat Pahang, agar merebut peluang menghadiri majlis ilmu berkenaan yang menghimpunkan tokoh-tokoh ulama hadis antarabangsa.
“Ini satu keberuntungan kepada rakyat Negeri Pahang apabila Kerajaan Negeri berjaya membawa tokoh-tokoh ulama hadis ini untuk kita menyambungkan sanad kita dengan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.
“Jadi saya menyeru kepada seluruh penduduk Negeri Pahang khususnya, bahkan rakyat Malaysia yang mempunyai ruang dan kesempatan, supaya mengambil peluang yang dibawa oleh Kerajaan Negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) turut memperluaskan pengisian program bersama tokoh-tokoh ilmuwan berkenaan ke beberapa lokasi lain bagi membolehkan lebih ramai masyarakat mendapat manfaat daripada kehadiran mereka.
“Pada malam ini, tokoh-tokoh ini akan hadir ke Masjid Sayyidina Ali, Bukit Sekilau, manakala pada 26 November mereka dijadualkan mengadakan lawatan dan pertemuan serta ceramah terbuka di Auditorium Universiti Al-Quran Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS).
“Mereka juga dijadualkan melawat Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan dan kita mungkin akan membawa mereka ke beberapa daerah pada Jumaat dan Sabtu ini.
“Ini satu tuah dan keberuntungan bagi Negeri Pahang kerana kehadiran tokoh-tokoh ilmuwan ini dapat diperluaskan kepada masyarakat di negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

